Sunday, December 14, 2008

DORONGAN POSITIF DALAM DIRI

Di dalam arus kehidupan, terutama pada zaman internet atau apa yang
dikatakan serba canggih ini, hakikat situasi persekitaran berubah
setiap detik adalah satu realiti. Begitu juga dengan perubahan gaya
hidup seseorang yang menjadi pendorong bagi seseorang itu terutamanya
golongan remaja untuk mengubah taraf pekerjaan yang mereka ceburi.

Oleh hal yang demikian itu, selain daripada memerlukan perancangan
yang matang dan mutlak dalam soal memilih kerjaya, remaja juga
memerlukan dorongan yang positif dari dalam diri. Ianya lebih berupa
semangat dan jati diri disamping cekal, tabah, sabar, yakin, optimis,
ingin maju dan sebagainya. Dalam soal ini para remaja tidak perlu
bersikap menunggu sehingga adanya tawaran yang lebih baik untuk
berpindah kerja. Ada beberapa kaedah yang harus anda lakukan dalam
hasrat melaksanakan tujuan ini. Anda harus ambil mencari seterusnya
mengenalpasti bentuk, corak atau ragam keperibadian diri anda
sendiri. Apa yang perlu anda lakukan ialah mengenali kemampuan dan
kelemahan diri anda dengan sebaik-baiknya. Jadikan kedua perkara itu
sebagai watas atau sempadan untuk anda memilih pekerjaan.

Kedua-dua kaedah ini mampu membuatkan anda belajar dan berlatih untuk
memperbaiki segala kelemahan yang anda miliki dan kemampuan anda juga
akan menjadi semakin bertambah baik dari sebelumnya. Sekiranya anda
rasa ianya berguna untuk kematangan diri, maka bolehlah mengunakannya
sebagai bekalan tambahan apabila berhadapan dengan dunia pekerjaan
baru. Zaman internet, zaman merentas dunia dalam sesaat, zaman siber
dan pelbagai gelaran lagi mencerminkan situasi dan lingkungan kerja
yang semakin hari semakin mencabar.

Setiap detik manusia berlumba-lumba mencipta sesuatu yang terkini dan
berinovasi. Setiap saat manusia berlumba-lumba menandingi antara satu
sama lain. Oleh itu, hanya mereka yang berprestasi sahaja yang dapat
memupuk reputasi.

Itulah sebabnya, anda harus bersiap sedia dengan perubahan dan
persaingan di tempat kerja. Apa yang perlu anda lakukan ialah
memantapkan pendirian seteguh yang mungkin seperti menanam cita-cita
terhadap kemajuan karier masa depan anda supaya menjadi lebih
gemilang dan cemerlang.

Jangan sekali-kali takut kepada persaingan kerana persaingan adalah
pembentuk minda ke arah lebih kreatif dan berinovasi. Jangan mudah
pesimis. Selalu optimis terhadap sebarang tindakan yang dilaksanakan.
Jangan fatalis (menyerah kepada nasib semata-mata) dan pasif kerana
apabila anda bersikap fatalis dan pasif, sudah pasti anda akan
tertinggal jauh di belakang.

Anda perlu mengenali bidang karier yang sesuai dengan kemampuan,
kebolehan dan minat serta kecenderungan anda. Talakan karier anda ke
matlamat itu dan apabila anda belum berjaya menggarap karier yang
anda idam-idamkan itu, cuba rencanakan langkah-langkah yang dapat
membantu anda memperolehi pekerjaan tersebut. Cara yang paling mudah
ialah melalui pergaulan dengan rakan-rakan di semua peringkat umur.

Ramai kawan adalah satu tindakan yang positif dalam merealisasikan
hasrat ini. Seboleh-bolehnya anda disarankan berkawan dengan sesiapa
saja kerana melalui persahabatanlah hasrat dan cita-cita anda akan
mudah tercapai. Contohnya, jika anda berminat dalam bidang penyiaran
sebagai seorang DJ, mulailah bergaul dengan teman-teman yang bekerja
di syarikat penyiaran. Melalui mereka anda boleh belajar tentang
situasi dan cara mereka bekerja.

Secara tidak langsung anda akan dapat membuat jaringan kerja
tersebut. Apabila muncul sahaja peluang, sudah pasti rakan-rakan anda
tersebut akan memberi bantuan dan kesempatan untuk anda bekerja
sebagai seorang DJ di mana-mana syarikat penyiaran yang memerlukan
terbuka lebih luas.